KEPENTINGAN PETA MINDA
Pelbagai penyelidikan telah dibuat untuk membentuk dan menyusun strategi pembelajaran yang lebih berkesan terhadap pelajar-pelajar. Pembelajaran secara hafalan memerlukan daya ingatan yang kuat, tetapi ianya tidak dapat membentuk insan yang kritis dan kreatif malah ianya tidak sesuai di zaman yang serba maju ini.
Manusia telah dikurniakan dengan pancaindera yang mempunyai pelbagai fungsi. Pancaindera ini amat responsif terhadap apa-apa rangsagan yang berkaitan dengannya. Seorang kanak-kanak yang masih kecil dan belum mengenal huruf dapat memahami sesuatu keadaan melalui penglibatan dan pemerhatian. Objek yang dilihat melalui mata akan menghasilkan sesuatu mesej melalui intrrpretasi yang dibuat di bahagian otak. Mesej yang dihasilkan akan menjadi mudah dan jelas sekiranya kita dapat merangsangkan pancaindera yang ada pada seseorang itu dengan cepat.
Oleh itu, dalam proses pembelajaran, seseorang itu perlulah menyusun strategi agar segala isi pelajaran yang diperoleh, dapat diproses oleh otak dengan lebih mudah.
Beberapa elemen yang dapat merangsang fungsi otak dan memudahkan pemahamn kita adalah seperti berikut:-
1. Teks
Teks yang ringkas dan mudah difahami srta saiznya yang tidak begitu kecil dapat mengelakkan mata berasa letih serta seterusnya mengelakkan diri seseorang itu berasa bosan untuk membacanya.
2. Grafik
Bahan grafik seperti garisan anak panah, segi empat dan bulatan dapat digunakan untuk membentuk jaringan bagi memudahkan pemahaman bagi satu-satu topik.
3. Gambar
Gambar-gambar yang dilukis bagi melambangkan sesuatu isi pada teks dapat menjelaskan lagi pemahamn serta mengukuhkan daya ingatan dengan cara mencerdaskan daya gambaran mental yang ada pada setiap individu.
Dalam hal ini penggunaan peta minda dan pengurusan grafik adalah sesuai ke arah memudahkan pembacaan serta memudahkan otak membuat analisis untuk menghasilkan sesuatu yang bermakna.
Dalam melakar peta minda atau pengurusan grafik, beberapa langkah perlu dibuat agar ianya dilakukan secara sistematik:-
1. Memahami isi petikan
Sekiranya sesuatu lakaran peta minda itu hendak dilakukan berdasarkan daripada bahan bacaan, maka bahan bacaan itu perlulah dibaca dan difahami secara keseluruhan terlebih dahulu.
2. Mengenalpasti isi dan huraian yang berkaitan.
Ianya dapat dilakukan dengan cara menggaris isi-isi serta huraian yang dianggap ada kaitan dan relevan dengan topik bahan bacaan tersebut.
3. Melakar simbol
Gambar merupakan salah satu media yang dapat memberi rangsangan yang begitu cepat daripada teks. Gambar juga dapat memberi pelbagai interpretasi yang dapat mencetuskan pemikiran yang lebih kritis dan kreatif.
Proses membuat peta minda dapat memberi faedah yang bukan sahaja dapat dilihat pada zahirnya tetapi juga sesuatu yang tersirat disebaliknya:-
I. Latihan dalam pasukan
Peta minda dapat dilakukan melalui satu pasukan. Ini dapat menggalakkan pelajar-pelajar belajar secar kolaboratif dan koperatif.
II. Pencetusan idea
Lakaran yang dibuat yang merangkumi teks, grafik dan gambar dapat mempergiatkan lagi kreativitiseseorang individu ke arah pencetusan idea.
III. Perkembangan potensi
Lakaran grafik dan gambar dapat memperkembangkan potensi kemahiran motor yang ada pada pelajar-pelajar.
IV. Kemahiran menganalisis
Setiap fakta yang dibaca terlebih dahulu perlu dianalisis dan kemudian menyusunkannya untuk membentuk satu lakaran. Latihan seumpama ini adalah amat diperlukan ke arah pembentukan sikap yang analitikal.
Penganalisisan data melalui pemetaan minda ini adalah merupakan salah satu ciri aktiviti yang terdapat dalam pembelajaran sekolah bestari. Oleh itu guru seharusnya memahirkan diri serta berusaha memperkenalkan aktiviti ini kepada pelajar-pelajar.